Permulaan 2013

*Entri yang panjang, tetiba rajin menaip*

Tak sempat nak buat entri azam baru. Draft peram hampir dua bulan. Lepas tu buka blog sendiri, baru perasan rupanya ada buat draft pasal azam baru. Cancel nak publish sebab dah expired. Haha. Nampak sangat pemalas.

Ok, baru bulan Februari jadi masih sempat ucap selamat tahun baru 2013!



Ok azam saya sangat berlambak-lambak. Serius, sangat berlambak. Sebab tahun ni saya nak jadi seorang wanita yang kental dan berguna. Kental? Hehe, ye kental.

Saya mahu jadi wanita yang taat di sisi Allah SWT. Menjaga solat dengan baik, selalu bersedekah, menjaga maruah diri, selalu mengaji, selalu berzikir, selalu mencari yang sunat, selalu menjaga segala ibadah. 

Saya mahu jadi isteri yang solehah serta ibu yang baik. Saya sangat berharap, tahun 2013 ini memberi saya berita baik. Sehingga entri ini ditulis, Allah SWT masih belum berkehendakkan rezeki anak kepada kami. Tidak apa. Kami tetap berdoa, berusaha dan bertawakal. Ini adalah ujian beserta hikmah untuk saya dan suami. Saya juga berusaha untuk sentiasa berada di sisi suami, serta mengembirakan hati suami. Tidak melukakan hati suami dengan perangai budak-budak saya, tidak membuat suami resah dengan tingkahlaku saya, tidak menambah dosa suami dengan perjalanan harian saya dan tidak membuat suami rasa kurang selesa bila kami berjauhan seperti sekarang. Mengenai anak, sangat indah bila bicara mengenainya. InsyaAllah, nanti akan ada rezeki untuk saya dan suami, pasti ada, insyaAllah.



Saya mahu menjadi anak yang baik. Untuk ma dan abah saya. Juga untuk ibu mentua saya. Bila dah masuk umur dewasa ni, baru saya faham dan tahu bahawa betapa tabahnya ma dengan abah saya menguruskan saya dari saya kecil sampai la saya habis belajar, sambung pula bila dah dapat kerja. Masa saya darjah 6, saya sangat sedih bila ma saya dapat tahu keputusan UPSR saya terlebih dahulu daripada saya. Masa tu saya fikir, sepatutnya saya yang perlu tahu dulu sebab tu keputusan peperiksaan saya. Sekarang saya faham bagaimana hati seorang ibu sangat teruja nak tahu kehebatan anak dia :)
Masa saya tingkatan 4, saya ditawarkan ke Sekolah Teknik Rompin, Pahang. Saya tidak boleh terima dengan suasana serta keadaan di sana yang pada masa itu sangat tidak maju. (Zaman saya ketika tu, naik bas Naeila). Saya buat perangai sehingga abah saya terpaksa turun naik Kementerian Pelajaran di Putrajaya untuk tukarkan saya semula ke Kemaman. Saya dapat tukar Sekolah Teknik Kemaman. Kuatnya abah menahan perasaan sabar dia ketika itu dengan melayan kerenah saya. 
Saya dapat peluang melanjutkan pelajaran di Politeknik Dungun. Saya bermasalah untuk tinggal berjauhan dengan ma abah. Sangat-sangat bermasalah. Kali ini, saya masih tidak dapat terima keadaan ini walau jarak perjalanan dari rumah ke politeknik hanya memakan masa sejam. Dengan perangai saya yang entah apa-apa, saya menangguh satu semester dan menukar pengkhususan dari Diploma Kejuruteraan Mekanikal Automotif kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal Plastik Pembuatan. Ma dengan abah masih boleh senyum dengan perangai saya yang macam-macam ni. Habis belajar, anak ni menganggur 2 bulan dah tolong carikan kerja. Baru nak habis satu kontrak kerja, abah dah sibuk tolong carikan kerja lain. Betapa tak nak anak ni rasa tak berguna. Sehinggalah saya dapat jawatan tetap dan berpencen seperti sekarang, baru saya rasa saya ni anak yang berguna sebab tidak lagi bebankan urusan mereka. Apa yang saya mampu bagi pada ma dengan abah sekarang memang tidak dapat menebus semula jasa dan titik peluh mereka. Sebab itu, semoga tahun ini saya akan sentiasa mengingatkan diri saya dan adik beradik saya supaya sentiasa mengembirakan hati mereka. Itulah yang terbaik. InsyaAllah.

Saya mahu jadi pekerja yang baik. Ye, ini saya nekad. Sebab saya rasa tahun 2012 saya tidak menunjukkan prestasi yang baik. Saya mahu jadi pengajar yang baik sebenarnya. Tahun ini, semoga saya boleh bahagikan masa menjadi pengajar yang berdedikasi, amanah dan jujur. Juga menjadi pekerja yang baik serta menjalankan setiap kerja yang diamanahkan setiap masa dengan rasa senang hati, tidak merungut dan tidak menganggap kerja itu sebagai beban. InsyaAllah, saya boleh jadi pekerja dan pengajar yang baik dan amanah.

(Bertungkus lumus menjadi pengajar, menyiapkan port folio, setiausaha KIK, auditor dalaman ISO, urusetia CQI, urusetia Majlis Perasmian IKBN, uruskan pendaftaran subjek, analisis keputusan peperiksaan pelajar dan persediaan audit 5S) :)

Saya mahu jadi kebanggaan diri sendiri. Sebagai motivasi diri, saya mahu jadi hebat dengan diri saya sendiri, buat baik dengan semua orang, menjalani hidup yang seronok tanpa halangan, kurang fikirkan perihal kewangan, melakukan sesuatu yang mencabar, sentiasa menerima apa jua dengan hati tenang, sentiasa berfikiran positif dengan semua orang, yakin dengan kelebihan saya dan terus maju. Ok.

Ini semua azam saya tahun ni. InsyaAllah, semua akan dicapai. *Motivasi*

Oh ye. Tahun ni juga, saya berazam nak rajin memasak untuk suami dan keluarga saya. Ye la, saya kan tak pandai masak. Kawan saya suka perli saya :( tapi saya senyum je. Tak ambil hati, sebab saya baik. Hehe. Saya kan jumpa suami hujung minggu je, jadi hujung minggu itu lah waktu yang baik untuk menjaga perut suami kan. Jadi, jom memasak. Nanti kalau saya masak-masak, saya cuba masukkan resipi di sini ye. Kalau la. Hehe.

(Masa entri ini ditulis, tempat kerja saya sedang dalam persiapan untuk majlis perasmian yang bakal dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang. InsyaAllah, kalau banyak input dan kisah menarik di sebalik persiapan ini, saya update entri berkaitan)

*Setiap entri yang saya catat bukan bertujuan untuk berkongsi kehebatan diri sendiri mahupun menjatuhkan maruah sesiapa, tetapi sebagai rujukan anak cucu akan datang mengenai nenek dan datuk mereka. Jatuh bangun nenek dan datuk masa muda, segalanya mungkin tercatat di sini. InsyaAllah.


Doa wanita lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat dari lelaki. 
Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW mengenai hal tersebut,
jawab Baginda, wanita lebih penyayang daripada lelaki dan doa orang yang penyayang 
tidak akan sia sia

Wallahualam.




Comments