Safwan Haziq Dalam Kenangan


Al Fatihah untuk Muhammad Safwan Haziq. 

Tujuan aku buat entri ni untuk diri aku sendiri. Bukan untuk meratapi sedih pemergian Ajiq, cuma untuk kenangan. Segala gambar arwah dalam entri ni hanya sekadar memori aku. Kami redha Ajiq pergi.

Allahuakbar. Pemergian Ajiq sangat terkesan bagi aku. Ajiq anak saudara suami aku. Berusia 16 tahun. Sebenarnya lagi 3 hari sebelum hari lahir dia yang ke 16, dia pergi tinggalkan kami semua. Pergi ketika usia tersangat muda. Akibat terbabas motorsikal dan kecederaan teruk di bahagian kepala. 

Ajiq anak kakak suami aku. Anak ke 2 dari 4 adik beradik. Ajiq ni baik dengan suami aku. Secara automatik baik dengan aku dan sangat rapat dengan Iqbal Akif. Sangat rapat sampai Iqbal Akif tanak dengan orang lain kalau Ajiq ada kat rumah nenek. Asyik berkepit dengan Ajiq je. Ajiq pandai layan dia. Aku selalu marah Ajiq ni kalau tanya apa apa jawapan mesti annoy gila. Ahu gok ahu gok. Semua jawapan tak tahu bila tanya. 

3 minggu sebelum Ajiq pergi, kami terserempak dengan Ajiq sama sepupu dia baru balik main futsal. Masa tu nak Maghrib dan kami memang dalam perjalanan nak pergi rumah dia nak hantar kain mintak umi dia jahitkan. Sekali dengan kain seluar sekolah Ajiq yang kami beli kat Kamdar. Sehari sebelum dia wasap suami aku tanya kain sekolah Ajiq dah beli ke belum sebab umi dah nak jahit. Kami masa tu berhenti makan dekat Restoran Cherating. Ajiq dengan Emy berenti motor dan kami ajak makan sekali. Ajiq langsung tak tunjuk kelakuan pelik. Dia suka gelak macam biasa. Nak nak kalau Poksu sakat dia. Aku cakap kami nak pergi rumah Ajiq ni hantar kain, Ajiq balik la lepas ni ye, Magrib dah ni. Lepas makan kami pergi rumah dia, sampai sudah dia tak balik. Katanya nak pergi hantar bola futsal rumah kawan dia pulak. 

Arwah Ajiq dengan baju yang sama masa dia meninggal, ni masa kami terserempak dekat kedai


Masa perjalanan balik, suami aku cakap rezeki Ajiq dapat rasa poksu belanja sebab ni gaji pertama suami aku dekat tempat kerja baru. Rupanya tu kali terakhir poksu belanja Ajiq makan. 

Ajiq kalau kami konvoi ke mana mana destinasi yang jauh, dia suka naik kereta dengan kami. Balik Kuala Terengganu ke, pergi KL ke memang akan sekali dengan kami. Kecuali 2 minggu sebelum kemalangan, kami ke KL tapi Ajiq naik kereta dengan abah dia. Biasanya kalau nak jalan jauh memang susah nak ikut tapi kali ni dia beriya nak ikut pergi KL. 

otw balik raya Kuala Terengganu, arwah memang akan naik kereta dengan kami
masa ni arwah Ajiq tingkatan 1 kot, muka pun budak lagi. Iqbal belum setahun


Pergi KL kami pergi melawat abang dia yang belajar di IKBN Dusun Tua, Langat. Aku suka sakat Ajiq, bagitau dia Ajiq kalau nak sambung belajar mesti sambung belajar kat belah utara tau. Senang kita sekeluarga nak holiday ke Langkawi. Dia gelak je kalau dengar aku cakap camtu. Masa di IKBN tu, aku bagitau dia yang sungai bawah jambatan dekat IKBN tu kolam air panas. Eh dia cakap aku kelentong. Siap ajak aku keluar dari kereta sebab nak tengok betul ke tak. Pastu gelakkan aku. 

Dia suruh suami aku ambik gambar dia depan pintu masuk IKBN tu. Katanya nak letak dekat wechat. Budak budak sekarang kan aktif wechat. Dan gambar dekat pintu pagar tu jugak yang tersebar lepas pemergian Ajiq bila kawan kawan dia upload dekat fb dengan ucapan takziah. Mungkin ambik dari wechat Ajiq. 

bawah jambatan ni kolam air panas tapi arwah tak percaya


Malam lepas melawat abang Danial, kami ke Sungai Nikat makan talapia goreng bersambal. Ajiq makan banyak macam biasa. dia duduk sebelah suami aku, selang satu dari aku. Aku sempat cakap rugi la Ciksu duduk dengan Poksu dengan Ajiq, kongsi makan ikan cepat habis. Semua gelak. Aku cakap aku nak kepala ikan, eh dia dulu yang ambik makan sambil senyum senyum. Dekat restoran tu pun banyak gambar dia sorang sorang. Suruh Poksu dia ambik. 

Sebelum kami keluar makan tu, aku mintak tolong Ajiq tanggalkan baju dan seluar Iqbal sebab nak mandi. 10 minit lepas tu, rupanya Ajiq dah mandikan Iqbal Akif. Dia bawak Iqbal pada aku cakap dah siap mandi. Aku gelak sambil cuit suami aku bagitau Ajiq mandikan Iqbal. Tak pernah dia mandikan Iqbal sebelum ni.

Esoknya kami ada kenduri di Bandar Tun Razak. Dia ok macam biasa. Pakai baju kemeja feveret dia. Banyak bergambar dengan pak sedara mak sedara. Senyum macam biasa. Gelak pun macam biasa. 

Arwah masa kat kenduri, bersama sepupu dia dan pak sedara dia

arwah memang suka senyum dan gelak

Balik dari kenduri kami singgah Kuantan sebab nak hantar nenek rumah Ateh. Nenek tak berapa sihat jadi kami tak bagi duduk sorang sorang kat Kemaman. Masa kami nak balik rumah masing masing nenek cakap nak balik jugak. Ajiq cakap bahaya nenek duk sorang sorang takde orang teman. Aku tersentak masa Ajiq cakap macam tu sebab tak pernah dengar dia cakap camtu. Nenek pun terkejut Ajiq cakap camtu tapi memasing buat rilek je.

Tu last aku jumpa Ajiq. Bukan aku je. Suami aku dan mak mentua aku pun. 

Ajiq budak baik. Pandai hormat orang. Memang dia banyak keluar malam walaupun umur dia tak sepatutnya dia berada luar rumah lepas Magrib. Tapi apa umi dan abah dia boleh buat kalau hari hari kawan datang ajak minum air kat luar. Kata Ajiq minum kat kedai dekat dekat je. 

Ajiq antara cucu kesayangan mak mentua aku. Sebab keluarga Ajiq pernah duduk dengan mak mentua aku sebelum diaorang pindah Cherating. Ajiq ringan tulang kalau suruh apa apa berbanding dengan abang dia. Suami aku suka mintak tolong Ajiq kalau apa apa hal. Aku pindah rumah dari Temerloh ke Kuantan pun Ajiq yang tolong. Sebab dia rajin la aku suka dia. Gelak paling kuat kalau aku buat lawak. 

Ajiq jugak antara cucu yang paling handsome bagi aku. Suami aku kata masa kecik muka dia macam anak mat saleh. Sampai besar kulit masih putih. Mata coklat, rambut ikal. Lain sikit dengan abang. Tersangat lain dengan adik adik perempuan dia. Suami aku pun suka puji Ajiq ni. Apa apa memang Ajiq je dapat pujian. Tapi depan aku je la suami aku puji. 

Ajiq ni geng poksu. Main saidina ramai ramai, dia dengan poksu la suka main tipu. Asyik bina rumah dan hotel je 2 beranak ni. Main kad pun macam tu. Asyik menang je. Main ngelat la tu. Sepupu yang lain menyirap je asyik kalah. 

Kenangan semua tu Ajiq. Ajiq pun dah takde.

Malam kejadian. 

Allah SWT dah cantikkan semuanya. Aku dengan suami memang ada di Kemaman dah 3 hari sebab mc. Suami, aku dan Iqbal Akif memang tiga tiga demam. 

Rabu malam tu kami berehat macam biasa. Dah siap hampar toto depan tv sebab nak duduk dalam aircond sambil layan Konsert Kilauan Emas. Sekali dengan mak mentua aku. Malam tu kami anak beranak sihat sikit, tak la macam sebelum tu nak bangun pun tak larat. 

Dah dekat pukul 11 malam. Bunyi telefon rumah. Nenek bangun nak angkat tapi tak sempat. Talian putus. Lepas 10 minit, kami dengar orang bukak pintu pagar. Semua terdiam. Sebab pelik sapa datang lewat lewat macam ni. Malam sebelum ma abah aku ada datang melawat kami konon konon sakit ni. Tapi tak kan ma abah datang memalam lewat gini. 

Tiba tiba bunyi orang ketuk pintu sliding kuat gila sekali dengan bunyi bising kat luar. Bunyi macam orang bergaduh. Laju mak mentua aku bangun bukak pintu. Aku dengan suami kaku sekejap. Bila dah buka pintu aku dengar kakak ipar aku dah nangis meraung. Aku dengan suami berlari ke pintu. 

Mak mentua aku memang dah terkejut sangat sebab tak tau apa apa. Bila biras aku cakap Ajiq eksiden Ajiq eksiden Ajiq dah takde. Ajiq dah meninggal. Ajiq eksiden dekat Binjai. Allahu, jauhnya Ajiq lepak sampai ke sana. Terus mak mentua aku rebah kat pintu tu jugak. Suami aku terus pegang mak mentua bawak masuk dalam rumah. Biras aku usung bawak akak ipar aku masuk jugak.

Tangisan kuat mak mentua dengan akak ipar aku tu buat jiran jiran semua keluar dari rumah. Semua datang tanya kenapa. Aku masa tu boleh control lagi. Cuma aku tak berani nak dekat dengan mak mentua dan akak ipar sebab keadaan aku tengah mengandung ni risau apa apa jadi. Masa tu suami aku macam termenung. Mungkin blur belum rasa apa apa.

Aku capai handphone sambil dukung Iqbal Akif masuk dalam bilik. Tangan aku dah start ketar nak cari nama ipar ipar aku yang lain dalam telefon. Mula mula aku call Akok, ipar aku yang sulung. Dengar suara akok, aku terus menangis mengigil. Kaget akok kat sana. Dah tenang baru aku dapat bagitau yang Ajiq dah takde. 

Nak bagitau satu kematian ni bukan senang. Perlukan kekuatan. Aku memang tak kuat. Masa aku call ipar ipar aku, semua tak faham apa aku cakap. Sebab bercakap ulam dengan menangis. Ulang 2 3 kali baru clear. Aku call abah aku pun sama. Aku tak pasti aku cakap apa, cuma aku dengar abah aku tanya Fadli dekat mana sekarang aku cakap tengah siap siap nak pergi hospital. Bila abah aku sampai rumah mak mentua aku, abah aku sangkakan Fadli yang pengsan atau kena masuk wad sebab sehari sebelum tu suami aku saspek denggi. 

Bila aku keluar dari bilik, jiran dah ramai. Akak ipar dan mak mentua aku dah berhenti menangis tapi semua termenung. Alhamdulillah biras aku, Abang Pi masa tu tenang sangat. Dia masih boleh urus semua dalam masa sama tenangkan kami semua. 

Masa kami kat rumah tu, jenazah Ajiq masih kat tempat kejadian. Dalam proses untuk dibawa ke rumah mayat hospital. Abah umi Ajiq sempat tengok Jenazah Ajiq dekat tempat kejadian tu cuma tak boleh dekat sebab polis dah tutup tubuh Ajiq masa tu. Masa tu la umi start menangis sebab cari Ajiq tak jumpa. Umi cari Ajiq sebab umi bayangkan Ajiq cuma cedera biasa. Abang pi bagitau umi Ajiq dah takde. Baru umi sedar dan terus menangis. Masa kejadian tu kawan kawan Ajiq ramai. Kawan kawan Ajiq tu la yang call Abang Pi masa mula mula Ajiq kemalangan. Diaorang cuma bagitau Ajiq kemalangan dan tak sedarkan diri. Tak sampai hati nak bagitau Ajiq dah takde kot. 

Suami aku masa tu siap call kawan dia yang pakai 4x4 untuk uruskan keranda. Sebab kami nak mudahkan semua. Nak buat cepat cepat. Tapi perancangan Allah lebih baik. Bila semua dah tenang, baru sempat fikir. Kita kena tunggu abang dia dan mak sedara pak sedara sampai. Bukan dekat nak cepat sampai. Semua dari KL. 

Jadi malam tu (pagi dah sebenarnya), jenazah Ajiq disimpan sementara di bilik mayat. Semua proses mandi dan kafan akan dibuat lepas Subuh esoknya. Dalam pukul 3 atau 4 pagi, semua yang dari KL dah sampai. Tangisan sekali lagi bergema. 

Lepas solat Subuh, semua sepupu Ajiq bacakan Yassin. Untung nenek. Semua cucu cucu nenek pandai baca Yassin. Ajiq pun pandai. Aku pernah dengar dia baca Yassin sebelum ni. Dah siap bacakan Yassin, suami dengan ipar lelaki ke hospital untuk bantu uruskan Ajiq. Kami yang lain tunggu di rumah. Jenazah Ajiq asalnya nak kebumi di Kemaman tapi tak jadi, kebumi di Cherating. 

Siap urusan dalam pukul 8 pagi, kami konvoi bersama van jenazah ke Cherating. Sayu sangat hati time tu. Kali ni bukan konvoi biasa. Konvoi terakhir Ajiq bersama kami. Konvoi yang kami akan ingat sampai bila bila.

Sampai di Cherating, rumah kat sana dah penuh dengan orang menunggu Ajiq sampai. Mak sedara ayah sedara belah biras aku. Ramai kawan kawan Ajiq. Masa tu semua tenang je. Bila sampai masa Ajiq dikeluarkan dari van jenazah dan dipindahkan ke tilam dalam rumah, tangisan mak sedara Ajiq dah kedengaran. Dan berjangkit ke semua orang. Tangisan sayu bukan tangisan meraung.

Kain putih yang balut badan Ajiq dibuka sedikit di bahagian muka. Tiada cacat cela langsung. Ajiq macam tidur lena. Ajiq yang memang kulit putih nampak lagi putih. Tenang je muka Ajiq masa tu. Masa wajah Ajiq jadi tontonan tu la tangisan sayu kami semua kedengaran. 

Masa tu umi tenang duduk di tepi Ajiq. Umi dah mula boleh terima kenyataan. Tak macam semalam. Dalam pukul 9 lebih, Ajiq sekali lagi diusung bawak masuk dalam keranda. Masa ni aku dah tak boleh pergi rapat dengan keadaan berbadan dua, Iqbal Akif pun senyap je masa tu. Aku bagitau dia Angah (Ajiq) dah takde, Allah dah ambik, dia ulang apa aku cakap dan angguk.  Dah hilang kawan baik Iqbal. 

Pukul 10, jenazah Ajiq bergerak ke Kawasan Perkuburan Cherating. Ramai ikut. Saudara mara, kawan kawan, jiran jiran. Aku geng geng perempuan tak ikut. Duduk bersendirian dekat rumah mak sedara Ajiq, sebelah rumah je. Masing masing sugul. Tak tahu nak bercerita apa. 

Suami aku cakap dalam pukul 11 lebih selesai urusan di kubur. Mak mentua aku cakap, arwah Ajiq sama dengan arwah abah. Meninggal rabu malam, kebumi esoknya jam 11 pagi. 

Masa sebelum kejadian, 2 3 hari sebelum kot aku pun lupa. Iqbal Akif tengah demam time tu. Tetiba dia macam sihat petang tu, tengah tengah main Iqbal cakap babai Atok sambil tengok kat luar rumah. Aku dan suami gelak dan terkejut jugak la sebab tak pernah ajar sebut atok sebab abah aku dia panggil tok abah. Rupanya atok dah datang ziarah sebab nak bawak salah sorang cucu dia buat teman kat sana. 

Hari ni, genap 7 hari Safwan Haziq tinggalkan kami. Kadang kadang aku nampak suami aku termenung. Aku tahu dia teringatkan arwah. Dia rindukan arwah sebab arwah baik sangat dengan dia. Aku perasan dia on youtube kat ipad cari pasal tazkirah kisah kematian dan alam barzakh. Kelmarin abah Ajiq masukkan gambar surat mati dalam group whatsapp famili untuk sesapa yang nak print untuk cuti kecemasan hari tu. Setiap kali aku baca surat tu, aku masih tak percaya nama pada surat tu ialah Safwan Haziq. Allahu. 

Aku harap sangat umi dan abah arwah tabah hadapi semua ni. Begitu juga nenek. Umi sebelum ni selalu cerita Ajiq asyik keluar malam sekarang. Mintak duit rm2 nak buat minum kat kedai. Ajiq pun banyak berkawan dengan geng yang ada motor. Pergi sekolah pun kawan datang ambik dengan motor. Dan setiap kali kawan dia datang ambik, mesti kawan dia suruh Ajiq yang bawak motor. Poksu tak berapa suka cara Ajiq bergaul dengan geng Cherating ni. Poksu selalu cakap suruh Ajiq duduk dengan nenek sekolah kat Kemaman, dalam masa yang sama boleh teman nenek. Tapi sekadar sebut je. Tak pernah cakap pada umi dan abah dia. 

Allah lebih mengetahui segalanya. Kalau tak kemalangan, nyawa Ajiq tetap Allah tarik walau dengan cara lain. Semua tu dah tertulis. Macam mana Ajiq boleh terbabas malam tu sendirian masa pinjam motor kawan dia, tu biarlah Allah SWT je yang tahu. Ajiq dah pun di alam lain.

Safwan Haziq, moga tenang di sana,

Kami tak kan lupa Ajiq.
Doa dari kami sentiasa ada untuk Ajiq.

Al Fatihah.

16 April 2000 - 13 April 2016.





Comments