Menanti rezeki zuriat

Ya, saya dan suami masih menunggu rezeki dari Allah SWT untuk dikurniakan anak.  Selalu baca status kawan-kawan dalam facebook merungut sebab muntah teruk disebabkan alahan, emosi tak stabil, makan tak lalu, pergerakan terbatas sebab perut yang besar.  Selalu terdetik dihati saya, jika Allah SWT bagi saya dugaan lebih hebat dari itu demi mengandungkan benih zuriat, saya sanggup.  Atau Allah SWT mempermudahkan segala urusan saya sepanjang saya mengandung, pun saya yakin bahawa saya akan kuat.  Betapa saya sangat-sangat berkeinginan untuk memiliki anak, suami saya pun sama.  Tapi, kita kena faham dengan kehidupan, kena teliti dengan keadaan, kena peka dengan doa dan harapan, kena nilai setiap hikmah yang diberi, kena tanam setiap impian yang ada.  Suami saya selalu positif.  Selalu menganggap ini semua adalah dugaan supaya kita lebih banyak beribadat padaNya ataupun ini adalah pengajaran mungkin kerana selalu alpa atau terlupa kepadaNya. 

Saya juga percaya, ujian untuk saya dan suami boleh diatasi cuma belum tiba masa untuk kecapi.  Ok dah.  Saya tak sedih pun.  Lagipun entri kali ni bukan entri sedih.  Hehehe.  Saya ada jumpa beberapa blog yang menulis berkaitan petua untuk cepat mengandung. Kadang-kadang rasa kelakar pun ada sebab ada juga petua yang tidak masuk akal, tapi boleh dipraktikkan.  Nama pun usaha kan.  Saya pun pernah juga dengar petua yang comel-comel ni.  Untuk dipraktikkan, tiada masalah bukan :)

Antara petua yang boleh dipraktikkan ialah


1. Jangan makan sebarang jenis jeruk samada jeruk pedas ke, aiskrim jeruk ke mahupun jeruk penang. Air limau nipis, nenas, tapai, tembikai, air tebu, air kepala, rebung dan keledek pun tak boleh. Katanya tajam dan panas.

2. Minuman bergas, fast food (olo, favorite saya) dan makanan laut juga adalah sangat tidak digalakkan.  

3. Perbanyakkan makan telur, ikan, soya, susu dan taugeh. (pernah seorang kawan beritahu, makan taugeh senang nak dapat anak sebab taugeh senang bercambah. kekekeke)

4. Petua ni pelik sikit.  Kena rebus kacang hijau, kemudian rendam dan tunggu sampai taugeh bercambah.  Air  yang kita guna untuk rendam tu kita buat minum.  Pelik kan.  Nak lagi faham, sila rujuk sini

5.  Ni pula petua dari kawan mama saya.  Masak sayur batang keladi bersama pari masak asam pedas dan sediakan segelas air suam.  Makan nasi dengan lauk tadi bersama suami (berdua sahaja).  Air suam tu kongsi, minum separuh seorang. Cute kan. Hehehe.

6.  Ni pula petua dari ibu mentua saya.  Jangan terbalikkan lesung batu bersama dengan hulu dia tu.  Pastikan lesung batu disimpan dengan keadaan macam tengah nak menumbuk. Ibu mentua saya cakap, tak ramai tahu petua ni. Hehe.

7. Kalau petua untuk dapat anak kembar pula, selalu la makan makanan yang berkembar (melekat dua).  Contoh macam pisang kembar ke, kacang melekat dua ke, bawang kembar ke.  Kalau ikut akal logik, bukan ke tu lagi potensi untuk dapat anak kembar siam. Huhuhu.  Dah namanya petua, orang tua punya pendapat la kan. 

8. Yang kedua last, jangan stress. Yes, yang ni sangat tepat.  Stress tu adalah terapi sebenarnya.  Bila stress berlaku, membuktikan otak, minda dan tubuh badan sedang berfungsi dengan baik sebab semua deria dan rangsangan kita bergerak.  Tapi jangan biarkan rangsangan itu berterusan sehingga menjadi stress yang teruk.  Caranya, bergembiralah dengan kehidupan kita.  Selalu fikir, kesusahan kita itu bukan selamanya akan kekal dengan kita.  Biarkan ianya melalui kehidupan kita, tapi jangan singgah terus :)  

9.  Yang terakhir, berdoa dan tawakkal.  Kita sudah usaha sebaik mungkin.  Tapi jika Allah SWT masih belum berkehendak akan sesuatu perkara, maka tidak akan terjadi la sesuatu perkara itu.  Dah berdoa, maka bertawakkal la tanpa rasa sangsi.  Ok ini bukan kategori petua yang comel ye. Ini adalah petua yang wajib diikuti.

Semoga kita semua akan memperoleh rezeki daripadaNya, amin.


Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak  di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi dll.)



Comments