Cerita Pendek : Cinta Kita Cinta Mati

Pagi itu indah seperti biasa
Tidur yang lena terhenti di sana
Layap kuyu masih tak terdaya
Bukalah tingkap curahkan cahaya

Buka tingkap jendela, masih cuaca yang sama seperti semalam. Matahari memancar tepat, meninggi aku namun meninggi lagi matahari. Jam 07.12 pagi. Masih banyak waktu. Tapi perjalanan hidup hari ini mungkin sedikit berbeza rentaknya dari semalam. Tarik tuala yang melepak di kepala kerusi. Lihat wajah di cermin. Masih kelihatan bengkak di bibir. Sakitnya berkurang. Selesai mandi, dicalit gincu merah pada bibir supaya berkurang nampaknya. 

Baju kurung moden berwarna hijau emerald dan bertudung warna emas, sesuai dengan hari Jumaat. Warna yang memberi keseimbangan dalam hidup. Semoga ia juga memberi kesimbangan dalam setiap aturan hidup aku. 

Sambil menunggu lif, suara anak kecil berlari lari ke pintu lif diikuti ibu mereka terkedek kedek mengejar. 

"Hi Deena, tak school ke hari ni?"

Senyum senyum pandang aku.

"Hari ni akak cuti. Abang balik Malaysia hari ni. Ni akak nak pergi airport ambik abang." Balas Kak Zira.

"Oh, Abang Razif nak balik".

Ting!

Lif terbuka. Semua masuk ke dalam lif. Aku mencari cari telefon bimbit di dalam handbag. Kemudian menekan nekan menghantar whatsapp. Deena sesekali menarik baju kurung aku. Nak ajak bermain. Sorry sayang, aunty takde mood. Tapi aku tetap senyum pahit. Melihat sayu Medeena Aulia. 

Perjalanan ke pejabat hari ini sangat lancar. Jem ada tapi tak teruk. Hati sedikit terusik dengan perbualan bersama Nazira. Bergelora rasa jiwa.

Whatsapp conversation

"Hi sayang"
"U buat susprise apa ni?"
"Hurm? Nama pun susprise syg. Rahsia la"
"Whatever"
"Kenapa ni syg?"
"I bizi. Got to go"
"Tak baik buat I macam ni. Why ni syg?"

Sarapan di cafe di tingkat bawah bangunan pejabat bersama Aima dan Susan. Susan dan Aima saling memandang satu sama lain.

"Korang ada nak tanya aku apa apa ke?"

"Kenapa dengan bibir ko? Ko jumpa Izat lagi ke?" Susan bersuara.

Dengusan halus aku sebelum meneguk milo panas. Berat hati untuk memulakan cerita. Sakit di jiwa belum reda.

Izat meluru masuk ke kereta aku semalam ketika aku di parking basement apartment. Izat menggila. Aku hanya membisu terdiam dengan tindakannya. Tangan kiri aku digenggam erat. Kuat.

"Izat, sakit tangan I"
"Izat u nak apa lagi?"

Hentakan kuat tangan Izat mengenai kepala aku dan pipi aku hinggap ke stereng. Pening. Pipi dan bibir terasa kebas. Darah pada bibir sedikit keluar.

Dengan kekuatan yang ada, aku menekan hon tanpa henti sehingga mengejutkan Izat. Izat tergesa gesa keluar dari kereta sebelum pengawal keselamatan datang menghampiri kereta.

Kali ketiga Izat menyerang aku. Desakan Aima dan Susan untuk membuat laporan polis belum aku endahkan. Aku hanya berharap semua ini tidak berlarutan. Masih berharap Izat akan berubah. Berubah dan menerima hakikat yang cinta kita dah berkubur.

Whatsapp conversation

"Syg, answer me"
"Dah sampai Malaysia?"
"Oh my. U know it? How?"
"Selain I, sape lg yang perlukan u?"
"Syg, jangan mcm ni"

Jarang dibuat, aku sujud ketika Magrib dan terus duduk di sejadah berejam lamanya. Memandang jauh ke hujung dinding. Hati sudah terluka. Izat yang dulu penyayang. Cintai aku, menjaga hati aku, tak pernah melukakan aku. Hati dan perasaan. Tapi kini semua berubah. Izat kini bukan Izat yang dulu. Izat kini dihimpit emosi berterusan. Bermula dengan masalah dalaman syarikat sehingga terpaksa gulung tikar dan pekerjanya dibayar pampasan yang tidak berbaloi. Kemudian Izat dihimpit lagi perasaan dengan kejadian meragut nyawa ibunya yang dibunuh oleh adiknya sendiri yang ketika itu dipengaruhi dadah.

Izat hampir hilang pedoman. Aku cuba membantu sebaiknya. Hampir setahun bergelumang pelbagai emosi. Membawa Izat mengenal kembali Tuhannya. Alhamdulillah Izat kian pulih. Dan mula bisnes bersama kawan. Aku yakin bisnesnya berjaya. Kini peristiwa itu tiga tahun berlalu, Izat kembali hilang pedoman.

Aku mula menjauhkan diri. Izat tergamak melakukan bisnes 'tepung putih'. Sedangkan tepung putih itulah punca yang menarik nyawa ibunya. Izat juga sering bermain dengan emosinya sendiri. Sehingga aku sendiri tidak kenal siapa dirinya.

Di kala aku sendiri di dalam lautan kekalutan, muncullah Razif. Razif menjaga hatiku sepertimana Izat dulu. Aku sanggup bermain cinta walaupun aku tahu siapa Razif. Dan hubungan ini dihidu oleh Izat. Izat sanggup memukul aku. Menghentak aku sehingga bibir berdarah. Dan pada Razif lah aku mengadu.

Razif yang bertugas di Doha, Qatar seringkali pulang ke Malaysia tanpa pengetahuan Nazira. Dan dia bersama aku. Menghabiskan sisa baki dosa bersama sama. Tidak pernah kami membicarakan soal masa depan kerana aku tahu cinta kami tak akan ke mana. Aku cintai Razif tapi tidak setinggi cinta aku pada Izat.

Whatsapp Conversation

"Syg, malam ni I tido rumah u. zira is not here. balik kg. family matter. I rindu u syg"
"Serius? not safe la. anything can happen. neighbor tengok cemana. i miss u too"
"who care? i just nak u syg"
"naughty! pukul 11.00 mlm nanti I unlock pintu rumah. please hurry up. i really miss u"
"ok, x saba nk hug u"

Tepat 11 malam, Razif dah di ruang tamu rumah aku. Kami berkongsi blok apartment yang sama. Hanya aras yang membezakan kami.

"syg u nak air apa?" Aku yang berada di ribaan Razif mengusap rambutnya.
"ikut la. i dah ngantuk ni"
"hahaha nakal tau. rindu i tak?"
"i rindu u sangat. selalu terbayang french kissing u syg"

Aku mengheret Razif ke bilik tidur. Sedang bergelumang dengan dosa, pintu bilik aku dihempas kuat. Izat!

Izat bertubi tubi menghunus pisau ke arah Razif! Darah mengalir laju membasahi cadar dan selimut.

"Izat stop it please!" Aku menangis ketakutan.

Izat ibarat orang hilang akal. Terus menikam Razif tanpa belas kasihan. Aku ibarat histeria melolong melihat Izat bertindak sedemikian.

Izat ketawa besar. Puas barangkali. Aku masih terketar ketar menahan sendu di hujung katil. Razif kelihatan langsung tidak sempurna. Bertalu talu tikaman di dada dan muka. Izat yang sedang ketawa besar sepantas kilat menghunus pisau ke jantungnya sendiri!




"Puan, dah lewat. Kita masuk dalam ye."
"Deena, mesti kamu sedih dengan kehilangan ayah kamu kan. Makcik minta maaf"
"Tapi puan, ayah saya masih ada. Masih sihat. Dah la puan. Jom kita masuk" Senyum Deena sambil menolak kerusi roda.

"Hajah, saya tanya sikit boleh? Saya masih baru bekerja di sini. Ada satu perkara yang sering bermain di minda saya" Deena masuk ke bilik Hajah Manisah selepas usai solat Maghrib.
"Tanya apa Deena" Hajah sedikit teruja.
"Puan Aulia tu masuk ke Rumah Bahagia ini kerana apa? Jika Hajah tak kisah untuk bercerita"

"Oh, Puan Aulia. Asalnya dia dari Rumah Ank Yatim Humaira. Ibu bapanya meninggal dalam kemalangan jalan raya ketika dia berusia 4 tahun. Dia terselamat dalam kejadian itu. Ketika berusia 16 tahun, dia mula bersikap pelik. Suka menulis, suka melukis, suka bercerita. Tapi semua cerita dan lukisan dia tidak logik. Lebih kepada khayalan. Sehinggalah dia cuba menikam salah seorang penghuni rumah anak yatim tu dengan pensel. Katanya sebab penghuni tu cuba merampas kekasihnya. Sedangkan dia tiada kekasih. Selepas itu dia disahkan mempunyai masalah mental. Ada juga yang kata, ibunya bergaduh dengan ayahnya selepas mengetahui ayahnya, Encik Razif mempunyai wanita lain. Disebabkan pergaduhan itu, kereta terbabas dan jatuh ke cerun bukit. Wallahualam. Jika nanti awak akan berpeluang dengar dia bercerita. Watak Razif, Izat. Tu semua saya dah boleh hafal." Senyum Hajah Manisah. Sedikit mengeluh di hujung cerita.

Aku mendengar segalanya. Deena, cerita itu tidak benar. Aku tahu segalanya. Dan aku tahu kau anak kepada Razif. Deena, akan aku bawa kau jumpa ayah kau di syurga.



 **TAMAT**


Comments